SEJARAH AWAL UNIMAS
Detik sejarah UNIMAS bermula dengan
pengumuman rasmi oleh Menteri Pendidikan pada masa itu, YB Tan Sri Datuk
Amar Sulaiman Haji Daud pada 1 Oktober 1992 dan pelantikan Profesor
Dato’ Dr Zawawi Ismail sebagai Naib Canselor pengasas dan seterusnya
UNIMAS diperbadankan pada 24 Disember 1992. Ibupejabat operasi pertama
UNIMAS pada ketika itu bertempat di Pusat Bandar Damansara Kuala Lumpur.
Pembukaan pejabat pertama di Kuching adalah di Rumah Setia, Taman
Budaya. Penuh dengan kenangan manis, pejabat di Rumah Setia, Kuching
adalah merupakan nadi penggerak kepada bermulanya segala perancangan
pembangunan UNIMAS seterusnya.
Selain itu, sebagai permulaan kepada terbentuknya sebuah institusi pengajian tinggi awam yang baru di negeri Sarawak UNIMAS memulakan operasi akademik dengan membuka dua fakulti perintis iaitu Fakulti Sains Sosial dan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber. Selain itu, dua buah pusat sokongan akademik turut ditubuhkan iaitu Pusat Pembelajaran Gunaan dan Multimedia dan Pusat Khidmat Maklumat Akademik. Sementara menunggu siapnya kampus sementara di Kota Samarahan, operasi pembelajaran dijalankan di Pusat Latihan Telekom, Semariang. Kampus Kota Samarahan dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 31 Ogos 1993 bersempena dengan perayaan Hari Kebangsaan.
Semenjak dari detik pertama penubuhan, UNIMAS terus menapak dan mengorak langkah dengan memperluas dan mempelbagaikan program serta memantapkan kemudahan fizikal di kampus sementara. Sehingga penghujung tahun 1995, lapan buah fakulti telah ditubuhkan termasuklah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.
Keunggulan UNIMAS terserlah apabila tanggal 9 Ogos 1997, telah berlangsung Majlis Konvokesyen UNIMAS yang pertama di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak. Seramai 153 graduan perintis dari empat fakulti telah menerima ijazah masing-masing. Jumlah ini adalah terdiri daripada graduan prasiswazah dan pascasiswazah.
Detik sejarah UNIMAS terus diukir pada 1 Mac 1997, apabila YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak telah dilantik sebagai Pro Canselor manakala TYT Tun Datuk Patinggi (Dr) Ahmad Zaidi Adruce bin Muhamad Noor telah dilantik semula sebagai Canselor. Namun begitu, pada 5 Disember 2000, UNIMAS telah kehilangan negarawan dan Canselor yang banyak berjasa dengan kembalinya ke rahmahtullah Allahyarham TYT Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce bin Muhammed Noor. Manakala, pada 16 Disember tahun 2000, Naib Canselor UNIMAS pada ketika itu dan juga seorang individu yang memainkan peranan penting dalam menggubal misi dan struktur akademik serta pengurusan, Ybhg Profesor Emeritus Dato’ Ir Dr M Zawawi Ismail bersara daripada UNIMAS. Walaubagaimanapun, sumbangan serta amanat mereka tetap terpahat dalam lipatan memori dan juga sejarah UNIMAS.
Sesungguhnya keunggulan UNIMAS sebagai salah sebuah Institusi Pengajian Awam di negara ini terus menyerlah dengan pemantapan prasarana pembelajaran apabila telah berjaya dalam rundingan mendapatkan pembiayaan sebanyak RM745 juta daripada peruntukan inisiatif dua hala antara Malaysia dan Jepun. Pembiayaan tersebut adalah untuk menyokong pembinaan Kampus Tetap yang bersifat terbuka dengan kawasan seluas 1040 hektar dengan jarak hanya 14 km dari Bandaraya Kuching. Perasmian bagi kerja-kerja pembinaan Kampus Tetap telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 13 Mei 2002.
Suasana kegembiraan menyelubungi seluruh warga UNIMAS apabila tanggal 18 April 2006, Kampus Tetap UNIMAS yang tersegam indah dan luas telah dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi.
Dengan berkonsepkan Kampus Kota, kampus
ini mudah dikunjungi oleh orang ramai yang ingin menggunakan kemudahan
dan perkhidmatan yang disediakan kerana ia bersifat terbuka.
Laluan-laluan pejalan kaki dibina dalam rangkaian yang mudah untuk
menghubungi antara bangunan-bangunan bagi menjamin keselesaan pengguna.
Selain itu, kemudahan untuk golongan istimewa turut disediakan agar
mereka dapat menjalani aktiviti seharian yang selesa di kampus. Dan
sebagai landasan kepada komuniti berangkai di kampus sementara, di
Kampus Tetap yang baru diduduki ini juga, sekali lagi keutamaan
diberikan kepada teknologi ICT, bukan sahaja dalam bidang pengajaran
tetapi termasuk juga pengurusan.